SEORANG pensyarah Politeknik Ungku Omar (PUO) maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta yang dipercayai membelok di Jalan Sultan Azlan Shah, Ipoh, hari ini.
Mangsa, Sarafuddin Alang Osman, 59, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, kemalangan kira-kira jam 10 pagi itu membabitkan sebuah Perodua Myvi dan motosikal Benelli Napoleon 500 yang ditunggang mangsa.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki tempatan berusia 89 tahun itu sedang dalam perjalanan dari arah Ipoh menuju ke Jalan Pinji Seni 5.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta berkenaan dipercayai membuat belokan ke kanan untuk memasuki simpang.
“Pada masa sama, motosikal yang ditunggang mangsa dari arah bertentangan melanggar bahagian hadapan kiri kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, impak pelanggaran itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk proses bedah siasat.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah kecederaan pelbagai akibat kemalangan jalan raya,” katanya.
Menurut beliau, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala kedua-dua kenderaan terlibat telah dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi tujuan pemeriksaan lanjut.
“Polis juga sedang mengesan saksi bebas serta rakaman kamera papan pemuka (dashcam) bagi membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Sementara itu, PUO menerusi hantaran di Facebook memaklumkan Allahyarham merupakan pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Perkapalan dan pemergiannya disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada institusi berkenaan.
“Seluruh warga PUO merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” menurut hantaran itu.


