TUJUH warga Nepal cedera selepas sebuah bas persiaran yang membawa 36 penumpang terbalik dalam kemalangan membabitkan dua bas persiaran dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 15 Jalan Genting Highlands-Genting Sempah, petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.29 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands bergegas ke lokasi dan tiba pada jam 6.06 petang.
“Sebuah bas yang membawa 36 penumpang terdiri daripada warga Nepal telah terbalik mengakibatkan tujuh orang mengalami kecederaan.
“Sebanyak 34 penumpang warga Bangladesh dan Nepal yang menaiki sebuah lagi bas persiaran pula dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, tiga individu yang berada di dalam sebuah Perodua Aruz turut selamat tanpa sebarang kecederaan.
Menurutnya, semua mangsa berjaya keluar dari kenderaan masing-masing sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian.
“Pasukan bomba memberikan bantuan awal kepada mangsa yang cedera sebelum mereka diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Pihak bomba turut menjalankan kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak di lokasi kejadian bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.


