AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Skudai, Marina Ibrahim mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Wakil rakyat DAP itu menjadi penyandang kerusi kedua memilih untuk berundur menjelang pilihan raya selepas Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim daripada PKR menegaskan, keputusan berkenaan dibuat selepas berbincang dengan keluarga serta penyokong rapat.
Ia sekali gus menamatkan spekulasi berhubung masa depan politik beliau yang pertama kali bertanding dan menang pada PRN 2022 mewakili Pakatan Harapan (PH), ketika timbul desas desus mengenai kemungkinan PRN diadakan pada Ogos ini.
Marina berkata, beliau berhasrat untuk kembali memberi tumpuan kepada kerja kemasyarakatan yang disifatkannya sebagai satu panggilan jiwa dan sentiasa dekat di hatinya.
“Saya membuat keputusan untuk tidak bertanding dan berundur daripada arena politik,” katanya, lapor NST.
Pada PRN Johor 2022, Marina memenangi kerusi Skudai dengan majoriti lebih 13,000 undi, menewaskan calon daripada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Walaupun tidak menyatakan sebab khusus mahu meninggalkan politik, beliau menjelaskan, setiap fasa kehidupan mempunyai penghujung tersendiri dan keputusan itu tidak bermakna dirinya akan berhenti berkhidmat kepada masyarakat.
Katanya, beliau akan terus melaksanakan tugas sebagai ADUN sehingga wakil rakyat baharu dipilih.
“Jika terdapat kelemahan atau perkara yang tidak memenuhi harapan sesetengah pihak, saya dengan rendah hati memohon maaf. Saya hanya manusia biasa,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada penyokong, sukarelawan dan kakitangan atas segala sumbangan yang diberikan.
Pada 9 Mac 2025, Hassan mengumumkan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan datang ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR Pasir Gudang.


