BRIGED Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seramai 13 warganegara Myanmar termasuk dua kanak-kanak lelaki dipercayai memasuki negara ini secara haram melalui laluan tidak diwartakan di sempadan Jeli, hari ini.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kesemua mereka ditahan dalam serbuan Cawangan Risik Batalion 7 PGA Kuantan di kawasan hutan berhampiran Jalan Kampung Wakaf Zin, Ayer Lanas di Jeli kira-kira jam 7.10 pagi ini.
Katanya, bertindak atas maklumat, pasukan serbuan berjaya menahan sekumpulan tiga lelaki, lapan wanita bersama dua kanak-kanak lelaki warga Myanmar yang sedang bersembunyi di kawasan hutan itu.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata, kesemua warga asing itu dipercayai baru memasuki Malaysia dipercayai melalui jalan yang tidak diwartakan di sempadan negara.
Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara tanpa permit sah.
“Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli untuk tindakan lanjut,” katanya.


