BRIGED Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki bersama 390 biji pil Epam yang disorokkan dalam poket belakang seluarnya di sebuah rumah di Kampung Kedai Getting, Pengkalan Kubor di Tumpat petang semalam.
Suspek yang berusia 26 tahun ditahan berhampiran sebuah rumah kira-kira jam 6.40 petang dan mendakwa membeli bekalan dadah terbabit menerusi platform e-dagang.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dibuat menerusi Op Taring Wawasan dijalankan sepasukan anggota dan pegawai Batalion 7.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di badan suspek menemukan 390 biji pil yang disyaki dadah jenis Epam yang disembunyikan di dalam poket belakang seluar.
“Suspek mendakwa bekalan dadah terbabit dibeli menerusi platform e-dagang dengan harga RM40 sepapan.
“Suspek turut mendakwa bekalan dadah itu untuk kegunaan sendiri. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau termasuk kes dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Radzi, rampasan dan tangkapan berkenaan dirujuk kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut.
“Nilai rampasan RM5,400 dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.


