DATUK Seri Anwar Ibrahim merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Dalam kenyataan melalui Facebook, Perdana Menteri berkata, bagi pihak Kerajaan MADANI dan sekalian rakyat jelata mendoakan semoga Seri Paduka, Raja Permaisuri Agong dan seluruh Kerabat Diraja dikurniakan keafiatan berpanjangan serta sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT.
”Semoga Baginda Tuanku kekal qarar memayungi negara dengan adil dan saksama serta terus berada pada kedudukan paling tinggi dalam Perlembagaan negara, seiring fungsi institusi diraja sebagai pelindung agama Islam dan menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan semua kaum di negara ini.
”Patik dan sekalian rakyat akan terus menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada institusi raja berperlembagaan,’’ katanya.


