MALAYSIA tetap meneruskan tindakan saman ke atas pembekal peluru berpandu antikapal (NSM) berpangkalan di Norway berikutan kegagalan syarikat itu menghantar aset pertahanan berkenaan susulan pembatalan lesen eksport oleh kerajaan negara terbabit.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan itu diteruskan biarpun rakan sejawatannya dari Norway, Tore O Sandvik sudah menyatakan permohonan maaf berhubung keputusan kerajaan negaranya membatalkan lesen eksport NSM kepada Malaysia.
“Ya (tindakan saman) diteruskan,” katanya lapor Berita Harian.
NSM adalah peluru berpandu antikapal berkeupayaan melaksanakan serangan maritim jarak jauh pada kelajuan subsonik tinggi dengan capaian melebihi 300 kilometer.
Kerajaan Norway sebelum ini dilapor membatalkan lesen eksport peluru berpandu antikapal NSM kepada Malaysia serta sistem pelancar berkaitan atas alasan untuk melindungi keselamatan negara itu.
Sandvik pada pertemuan dengan Mohamed Khaled di luar sidang Dialog Shangri-La IISS ke-23 di Singapura semalam, menyatakan permohonan maaf berhubung keputusan kerajaannya membatalkan lesen eksport NSM kepada Malaysia.
Sandvik turut memperincikan sebab dan punca keputusan pembatalan yang diambil kerajaan Norway.
Dalam kenyataan melalui Facebook beliau, Mohamed Khaled berkata, beliau menyampaikan secara terus terang kekecewaan dan kekesalan Malaysia berhubung tindakan Norway membatalkan lesen eksport Naval Strike Missile (NSM), yang telah menjejaskan perolehan pertahanan negara serta menimbulkan persoalan terhadap hubungan baik yang sekian lama terjalin antara kedua-dua negara.
”Walaupun Menteri Pertahanan Norway telah menyampaikan permohonan maaf dan menjelaskan alasan di sebalik keputusan tersebut, Malaysia menegaskan bahawa cara isu ini dikendalikan tidak mencerminkan semangat persahabatan antara dua negara yang mempunyai hubungan yang rapat dan lama,’’ katanya.
Beliau menjelaskan, kontrak telah ditandatangani sejak tahun 2018 dan penghantaran dijadualkan pada tahun 2026, namun Malaysia hanya dimaklumkan mengenai pembatalan tersebut pada saat akhir, selain keputusan itu dibuat secara unilateral.
”Saya turut menegaskan bahawa sehingga kini tidak terdapat sebarang usaha yang memadai untuk membantu Malaysia mendapatkan semula bayaran yang telah dibuat.
”Sekiranya Norway benar-benar menghargai hubungan persahabatan yang wujud, sewajarnya ada inisiatif untuk menyelesaikan isu pembayaran balik tersebut, memandangkan tindakan pembatalan lesen eksport itu berpunca daripada keputusan kerajaan Norway sendiri,’’ katanya.
Mohamed Khaled berkata, Menteri Pertahanan Norway memaklumkan perkara ini akan dibawa kepada perhatian kerajaannya untuk pertimbangan lanjut.
”Malaysia akan meneliti perkembangan seterusnya, namun episod ini telah meninggalkan kesan yang mendalam terhadap hubungan kedua-dua negara dan menjadi pengajaran penting dalam menilai kebolehpercayaan rakan strategik pada masa hadapan.
”Malaysia juga telah memulakan tindakan perundangan terhadap syarikat yang terlibat bagi melindungi kepentingan negara dan memastikan hak Malaysia terus dipertahankan,’’ katanya.
Pada 13 Mei lalu, Mohamed Khaled berkata, kerajaan membuat perkiraan jumlah tuntutan, termasuk nilai kerugian akibat pelanggaran kontrak itu dengan satu jawatankuasa diwujudkan bagi melihat proses memulakan tindakan dan menentukan jumlah tuntutan yang wajar dibuat.


