Lelaki warga China, 50 individu ditahan dalam pesta dadah, gay sudah didakwa – Polis

SEORANG lelaki warga China yang ditahan dalam serbuan pesta dadah membabitkan golongan gay di sebuah hotel mewah di ibu negara bulan lalu sudah didakwa di mahkamah atas pertuduhan memiliki dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki itu adalah antara 51 individu yang ditahan dalam operasi berkenaan disyaki berperanan sebagai penganjur acara berkenaan.

“Siasatan mengenal pasti seorang lelaki warga negara China yang ditahan, dipercayai terbabit sebagai penganjur.

“Siasatan polis juga mendapati promosi acara dibuat melalui platform Instagram menggunakan akaun persendirian,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, sebanyak 51 lelaki ditahan JSJN Bukit Aman selepas dipercayai menghadiri parti dadah dan gay di sebuah hotel mewah di ibu negara pada 23 Mei lalu.

Tangkapan membabitkan 23 warga tempatan dan 28 warga asing berusia antara 21 hingga 52 tahun dilakukan dalam empat serbuan berasingan.

Hussein dalam pada itu berkata, siasatan awal mendapati dadah yang dirampas dipercayai untuk kegunaan sendiri dan digunakan bersama peserta yang menghadiri pesta berkenaan.

“Tiada unsur pengedaran dikenal pasti setakat ini. Namun begitu risikan masih diteruskan untuk mengesan punca bekalan dadah ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hussein berkata, kesemua 51 individu yang ditahan dalam serbuan berkenaan sudah didakwa atas pelbagai kesalahan dadah.

“Individu warga China yang disyaki berperanan sebagai penganjur dituduh mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Seramai 17 individu lain dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala seorang dituduh mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Tambah Hussein, seramai 32 individu lagi dituduh mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Polis turut merampas pelbagai jenis dadah termasuk cecair MDMA seberat 1.15 kilogram, serbuk MDMA seberat 284 gram, pil ekstasi seberat 8.56 gram, serbuk ekstasi seberat 8.7 gram dan ketamin seberat 11.61 gram yang dianggarkan bernilai RM103,070.

Sebelum serbuan dilakukan, polis mengesan seorang lelaki dipercayai menghadiri parti berkenaan diusung keluar dari lobi hotel dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Lelaki terbabit dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

Mengulas perkara itu, Hussein berkata, pihak polis masih menunggu laporan penuh hospital berhubung punca kematian lelaki terbabit.

“Setakat ini, pihak hospital masih belum mengeluarkan keputusan rasmi berhubung punca kematian mangsa.

“Pihak hospital memerlukan sedikit masa lagi untuk melengkapkan proses tersebut,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img