PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 tidak lama lagi tidak akan menjejaskan kedudukan Kerajaan Perpaduan biar pun landskap politik negeri itu mungkin berubah selepas pilihan raya.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, senario politik negara kini berbeza apabila kerjasama antara pelbagai parti dapat dilihat di peringkat Persekutuan dan negeri.
“Kerajaan Perpaduan masih ada. Hanya kita kena terima hakikat bahawa keadaan sekarang tidak sama seperti dahulu.
“Dalam politik baharu sekarang, tidak mungkin ada mana-mana parti yang akan mendominasi. Mungkin di Pusat kerajaannya begini, manakala di negeri kerajaannya berbeza,” katanya.
Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata demikian pada sidang media selepas program Sembang Santai Bersama Pemandu Kereta Sewa dan Teksi di Terminal Bas dan Teksi Tun Sri Lanang, di Kota Tinggi hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, rakyat perlu menerima hakikat perubahan landskap politik dan susunan kerajaan yang berbeza antara negeri serta Persekutuan.
Katanya, ia dapat dilihat di beberapa negeri apabila komposisi kerajaan negeri tidak semestinya sama dengan kerajaan di peringkat Persekutuan.
“Di Pusat, ada parti yang menjadi sebahagian daripada kerajaan, tetapi di negeri mereka berada di pihak pembangkang. Di Johor pula kerajaan negeri diterajui sepenuhnya oleh Barisan Nasional (BN).
“Jadi pokoknya adalah bagaimana kita membangunkan satu sikap supaya rakyat boleh menerima bahawa politik negara pada masa akan datang memang akan bergerak dalam keadaan seperti ini,” katanya.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan berkuat kuasa semalam bagi memberi laluan kepada PRN ke-16.
Susulan pembubaran itu, PRN akan perlu diadakan dalam tempoh 60 hari akan datang.


