SEORANG ibu berdepan detik mencemaskan apabila anaknya pitam selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 47, Kampung Sungai Bari, Setiu, hari ini.
Rakaman video berdurasi satu minit dua saat yang memaparkan wanita itu memangku anaknya yang tidak sedarkan diri di lokasi kejadian turut tular di media sosial dan mengundang perhatian orang ramai.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, kemalangan kira-kira jam 11 pagi itu membabitkan sebuah Perodua Alza dan Perodua Bezza.
Menurutnya, siasatan awal mendapati Perodua Alza dalam perjalanan dari Kota Bharu menuju Kuala Terengganu manakala Perodua Bezza dari arah bertentangan.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Perodua Bezza hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung secara berdepan dengan Perodua Alza,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, seramai empat mangsa dimasukkan ke Unit Kecemasan Hospital Setiu, seorang lagi dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu manakala empat mangsa lain menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


