POLIS buru sekumpulan suspek yang dipercayai terbabit dalam kecurian kabel telekomunikasi milik Telekom Malaysia (TM) bernilai RM17,000 di Jalan Batu Uban 1, Gelugor, selepas kejadian itu tular menerusi rakaman video di media sosial.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang juruteknik TM pada jam 10.50 pagi tadi.
Menurutnya, pengadu memaklumkan terlihat satu rakaman video berdurasi satu minit 24 saat yang tular sebelum membuat pemeriksaan di lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan mendapati kabel telekomunikasi sepanjang 70 meter yang dianggarkan bernilai RM17,000 telah dipotong dan dicuri.
“Video tular itu memaparkan sekumpulan lelaki menaiki motosikal mengejar sebuah kereta yang mengheret kabel di bahagian belakang kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kumpulan suspek dipercayai menggunakan sebuah kenderaan jenis Mazda 6 Hatchback berwarna gelap ketika melakukan jenayah tersebut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri serta Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan bagi mengesan suspek yang masih diburu.


