PRN Johor: Senarai calon BN di peringkat penilaian – Ahmad Zahid

SENARAI calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sudah dikemukakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan kini dalam peringkat penilaian.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, senarai calon yang dikemukakan kepadanya itu akan dimuktamadkan selepas beliau mengadakan perbincangan bersama pimpinan parti komponen BN.

“Onn Hafiz sudah mengemukakan senarai calon tetapi kita harus menghormati calon yang turut disenaraikan oleh Presiden MCA dan MIC.

“Kita akan memuktamadkan calon untuk bertanding pada PRN Johor selepas perbincangan dengan presiden parti komponen BN,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutupan Konvensyen Ekonomi Usahawan Bumiputera (KEUB) 2026 di Kuala Terengganu hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, senarai calon yang akan bertanding di semua 56 kerusi DUN akan diumumkan sebelum hari penamaan calon.

Mengulas dakwaan BN Johor akan memperoleh kemenangan mudah melebihi dua pertiga, Ahmad Zahid berkata, kemenangan hanya diperoleh hasil kerja keras dan kebijaksanaan jentera pilihan raya yang akan dilakukan secara tersusun.

Selain itu, katanya, pelbagai inisiatif seperti dibentangkan Onn Hafiz pada Belanjawan negeri menjadi faktor tambahan bagi meraih sokongan pengundi Johor.

“Tiada kemenangan mudah, sebaliknya kemenangan akan diterjemahkan hasil kerja keras dan tersusun semua jentera pilihan raya,” katanya.

Mengulas mengenai poster boy PRN Johor, Ahmad Zahid berkata, Onn Hafiz dipilih namun tertakluk kepada perkenan pihak istana.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img