PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor dijangka menjadi penanda aras baharu politik nasional dengan pelbagai kemungkinan boleh berlaku dalam senario pasca-pilihan raya itu.
Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, uniknya kali ini Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) bakal bertembung di Johor, tetapi duduk semeja di Kabinet.
“Bertanding solo, bergabung kemudian? Rakyat nantikan.
“Senario pasca-PRN, sebarang kemungkinan. Expect the unexpected,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, PRN mengejut lazimnya memberi kelebihan kepada penyandang dengan sentimen lokal sering mengatasi isu nasional, ditambah dengan semangat ‘Bangsa Johor’ sebagaimana berlaku dalam PRN Sabah.
Beliau berkata, BN berada dalam kedudukan selesa apabila menguasai 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sebelum ini.
“Baton majoriti mudah di tangan, namun keyakinan berlebihan boleh mengundang padah. Imej Menteri Besar yang bekerja menjadi kelebihan.
“PH mempunyai 12 kerusi dengan DAP dijangka mempertahankan kubu sedia ada, manakala PKR atau Amanah risiko kehilangan kerusi namun, kalah tidak mengapa, jawatan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) menjadi taruhan.
“Perikatan Nasional (PN) pula yang mempunyai tiga kerusi berdepan tugas lebih mencabar. Potensi tetap ada, namun perlu lonjakan sokongan. Calon berwibawa, inklusif dan berintegriti menjadi tawaran,” katanya.
Menurutnya, parti Muda dan Parti Bersama Malaysia boleh mencuba nasib di Johor dengan menampilkan calon dan formula baharu, yang mungkin ada kejutan.
Beliau turut menegaskan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memastikan pilihan raya berlangsung secara adil dan bersih.
“Tutup ruang politik wang, hentikan salah guna jentera kerajaan. Pastikan padang sama rata,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berpandangan, Perdana Menteri dan Jemaah Menteri perlu terus memberi tumpuan kepada tanggungjawab masing-masing.
“Tugas kalian di Kabinet dan Parlimen, tidak perlu berkampung di Johor. Hentikan amalan ‘projek segera’ atau peruntukan bermusim setiap kali pilihan raya,” katanya.
Tambahnya, bagi pengundi, isu ekonomi, kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kebajikan kekal menjadi pertimbangan utama.
Ujarnya, pada masa sama, ketokohan serta kewibawaan calon turut mempengaruhi pilihan.
“Setiap blok parti bergantung kepada pengundi teras, namun undi penentu di tangan anak muda (20an – 40an), khususnya pengundi kali pertama dan pengundi luar yang mahukan perubahan.
“Hasilnya, keputusan PRN Johor pastinya mendebarkan, bakal menjadi penanda aras baharu politik nasional. Senario pasca-PRN, sebarang kemungkinan,” katanya.


