RUNDINGAN pembahagian kerusi Perikatan Nasional (PN) Johor bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) hampir dimuktamadkan dengan kira-kira 80 peratus kerusi telah selesai.
Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, baki 20 peratus kerusi masih dalam perbincangan, melibatkan kerusi Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) serta cadangan kerjasama melalui electoral pact dengan parti lain termasuk Muda dan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR).

“Setakat ini, pembahagian kerusi masih dalam perbincangan. Kira-kira 80 peratus telah selesai dan seperti kita maklumkan PN akan bertanding di semua 56 kerusi,” katanya ketika dihubungi, lapor Bernama.
Sahruddin berkata, gabungan itu turut mengaktifkan jentera bagi empat komponen parti iaitu Bersatu, Pas, Gerakan dan MIPP dalam gerak kerja pilihan raya.
Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, sekali gus membuka laluan kepada PRN negeri itu.
Sementara itu, Sahruddin dalam kenyataan hari ini berkata, PRN Johor ke-16 bukan sekadar pertandingan politik tetapi mandat rakyat menentukan masa depan negeri berkenaan.
PN katanya, menawarkan sebuah perjuangan yang berteraskan integriti, kestabilan, kebajikan rakyat serta tadbir urus yang bersih dan bertanggungjawab.
“Sehubungan itu seluruh jentera PN Johor di semua peringkat negeri, bahagian, DUN, pusat daerah mengundi (PDM) dan cawangan berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya untuk digerakkan bagi menghadapi PRN yang bakal diadakan.
“PN Johor telah membuat persiapan awal sejak sekian lama melibatkan penyusunan organisasi, pengukuhan gerak kerja akar umbi, latihan petugas pilihan raya serta pemetaan strategi di seluruh 56 kawasan DUN,” katanya dalam kenyataan itu.
Beliau berkata, fokus utama PN adalah memastikan setiap jentera bergerak secara tersusun, berdisiplin dan berkesan bagi menyampaikan mesej perjuangan PN kepada rakyat Johor.
Pihaknya menyeru seluruh pimpinan, anggota parti serta penyokong PN supaya memperkukuhkan saf perjuangan, mengetepikan segala perbezaan dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada gerak kerja pilihan raya.
“Semangat kebersamaan dan kesatuan adalah kekuatan utama kita dalam menghadapi cabaran yang mendatang,” katanya.


