Lelaki Rohingya direman kes nahas ragut nyawa penunggang RXZ

SEORANG lelaki etnik Rohingya direman selama tiga hari sehingga Jumaat bagi membantu siasatan kes kemalangan yang mengorbankan seorang penunggang motosikal selepas menerima rawatan selama hampir seminggu di hospital.

Perintah reman terhadap suspek berusia 20 tahun itu dikeluarkan Majistret Noor Mazrinie Mahmood selepas permohonan dibuat polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Mohd Sofian Redzuan berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 6 petang pada 27 Mei lalu di Kilometer 12.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Rusila.

Menurutnya, mangsa berusia 27 tahun ketika itu menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ dari arah Kuala Terengganu menghala ke Rusila.

“Siasatan awal mendapati motosikal mangsa dipercayai berlanggar dengan sebuah Proton Saga yang dipandu lelaki etnik Rohingya berusia 20 tahun yang membelok ke kiri di laluan sama.

“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia semalam ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Susulan kematian mangsa, Mohd Sofian berkata, kes yang pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 43(1) APJ 1987 kerana memandu secara tidak cermat dan tidak bertimbang rasa telah diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara antara lima hingga 10 tahun, denda antara RM20,000 hingga RM50,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun,” katanya.

Menurut beliau, polis turut menyita kenderaan terbabit mengikut Seksyen 64(1) APJ 1987 bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Nik Nur Farhanim Nik Mohamed Fauzee di talian 09-6182222 bagi membantu siasatan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img