POLIS mengesahkan setakat ini tiada unsur jenayah dikesan dalam kes kehilangan pendaki wanita, Jaslinda Saludin yang hilang ketika mendaki di Gunung Batu Putih sejak 24 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, siasatan yang dijalankan tidak menemukan sebarang petunjuk yang mengaitkan kehilangan wanita berkenaan dengan sebarang perlakuan jenayah.
Menurutnya, polis turut mengambil maklum dakwaan dan spekulasi yang tular di media sosial mengenai kemungkinan penglibatan pihak tertentu dalam kehilangan mangsa.
“Setakat ini tiada unsur jenayah. Saya faham ada perkara yang berlegar di media sosial, namun siasatan kita mendapati tiada unsur jenayah melibatkan kehilangan wanita ini.
“Saya meminta media dan orang ramai supaya tidak menghebohkan perkara yang tidak sahih. Kita perlu fokus kepada usaha pencarian di Gunung Batu Putih,” katanya pada sidang media operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Tapah, hari ini.
Abdul Malik berkata, walaupun operasi SAR akan diteruskan dalam skala lebih kecil bermula esok, pihak polis tetap menjalankan pemantauan serta siasatan lanjut berhubung kehilangan mangsa.
Beliau berkata, polis juga akan merakam percakapan 13 pendaki yang menyertai ekspedisi berkenaan bagi membantu melengkapkan siasatan.
Sebelum ini, operasi SAR yang memasuki hari ke-11 semalam membabitkan pelbagai agensi penyelamat termasuk bantuan komuniti Orang Asli serta operasi udara dalam usaha mengesan Jaslinda yang dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Batu Putih.


