“DIA mahu makan semuanya.” Itu antara perkembangan yang paling menggembirakan keluarga Jaslinda Saludin selepas wanita berkenaan ditemui selamat selepas 14 hari hilang di hutan.
Kakaknya, Jasima, 52, berkata Jaslinda kini semakin menunjukkan perkembangan positif apabila kembali berselera untuk makan selepas hampir dua minggu tidak mendapat makanan yang mencukupi.
Menurutnya, adiknya itu kelihatan lebih bertenaga dan ceria berbanding ketika ditemui sebelum ini, malah teruja menikmati makanan yang diberikan.
“Alhamdulillah, Jaslinda semakin sihat. Dia nampak lebih bertenaga sekarang dan sedikit lebih ceria.
“Dia mahu makan semuanya, yang memang boleh difahami selepas tidak makan selama 14 hari. Namun, keadaannya masih belum benar-benar mengizinkan, jadi kami hanya membenarkan dia makan dalam jumlah yang sedikit pada satu-satu masa,” katanya.
Jasima berkata, walaupun masih mengalami keletihan fizikal, Jaslinda berada dalam keadaan emosi yang baik dan gembira berbual dengan ahli keluarga yang datang menziarahinya di Hospital Tapah.
Katanya, Jaslinda turut mengalami beberapa kecederaan ringan termasuk pada buku lali kiri selain luka pada badan, tangan dan kepala, namun keadaan keseluruhannya semakin bertambah baik.
“Dia masih letih, tetapi dia ceria dan mahu bercakap dengan kami semua. Setakat ini, dia berada dalam keadaan baik,” katanya.
Menurutnya, keluarga juga tidak bercadang untuk memindahkan Jaslinda ke mana-mana fasiliti perubatan lain di Selangor kerana berpuas hati dengan rawatan yang diterimanya ketika ini.
“Dia selesa di sini dan kami berpuas hati dengan rawatan diberikan.
“Kami juga belum tahu bila dia akan dibenarkan keluar hospital kerana ia bergantung kepada keadaan kesihatannya dan nasihat doktor,” katanya.
Dalam pada itu, Jasima berkata perkembangan yang turut melegakan seluruh keluarga ialah apabila Jaslinda kini sudah mula tidur lena semula selepas melalui pengalaman traumatik sepanjang kehilangan tersebut.
“Dia sudah mula tidur dengan baik. Alhamdulillah, kami sangat bersyukur,” katanya.
Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih sebelum ditemui selamat di sebuah penempatan Orang Asli berhampiran Kampung Lubuk Gaharu di Pos Musoh pada Jumaat lalu.


