Status operasi SAR Jaslinda diteruskan atau ditamatkan diketahui esok

STATUS operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin, yang hilang di Gunung Batu Putih sejak 24 Mei lalu diteruskan atau ditamatkan akan diketahui esok selepas satu mesyuarat penyelarasan diadakan melibatkan semua agensi berkaitan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, keputusan berhubung status operasi itu akan dibuat dalam mesyuarat yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah.

Menurutnya, mesyuarat yang dipengerusikan Pegawai Daerah Batang Padang itu akan membincangkan status semasa serta perkembangan operasi SAR yang telah dilaksanakan sejak 10 hari lalu.

“Mesyuarat berlangsung jam 2 petang ini akan membincangkan status semasa dan perkembangan operasi SAR yang telah dilaksanakan serta tindakan susulan selepas 10 hari operasi digerakkan.

“Ia dijangka selesai jam 3 petang dan sidang media akan diadakan selepas itu,” katanya.

Operasi SAR yang memasuki hari ke-10 semalam berdepan pelbagai cabaran termasuk keadaan muka bumi yang mencabar serta cuaca yang tidak menentu.

Sebelum ini, satu petunjuk diperoleh apabila kelibat Jaslinda dipercayai dirakam melintasi salah satu kamera pengawasan di laluan pendakian Gunung Batu Putih pada hari pertama beliau dilaporkan hilang.

Rakaman itu menunjukkan mangsa dipercayai bergerak mengikut laluan menuju ke Kem Sukaneka.

Bagi memperluaskan pencarian, khidmat komuniti Orang Asli turut digunakan apabila lebih 22 penduduk Kampung Orang Asli (KOA) Ampang Woh dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil untuk melakukan pencarian di kawasan luar trek utama antara Kem Sukaneka dan Gunung Rayu.

Sementara itu, operasi udara yang dilaksanakan dalam misi mencari Jaslinda turut berdepan cabaran berikutan keadaan awan berkelompok, tiupan angin kuat serta ruang yang sempit dan dikelilingi pokok tebal.

Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd Hasrizal Kamaruzzaman dilaporkan berkata, operasi menggunakan pesawat buatan Russia, MI-17 dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah JBPM itu membabitkan kaedah winching.

Beliau berkata, proses menurunkan dan menaikkan anggota penyelamat menggunakan kabel itu melibatkan seramai 32 anggota pasukan SAR di kawasan Kem Sukaneka.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img