SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun maut, manakala ibu bapanya cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan melibatkan dua motosikal dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Cheras menghala ke Jalan Loke Yew, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.18 pagi itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis SYM Husky 150 SE, sebuah Honda CR-V dan sebuah motosikal Yamaha Y15ZR.
Menurutnya, siasatan awal mendapati penunggang motosikal SYM Husky 150 SE, lelaki berusia 35 tahun yang membonceng isteri serta anak perempuannya dipercayai mencelah di antara lorong kiri dan kanan ketika keadaan trafik sesak.
“Penunggang motosikal itu dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang sebuah Honda CRV yang berada di lorong kanan jalan.
“Pada masa sama, sebuah motosikal Yamaha Y15ZR yang berada di belakang gagal mengelak lalu melanggar motosikal berkenaan sebelum terjatuh di atas jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kanak-kanak perempuan yang maut merupakan anak kepada pasangan suami isteri tersebut.
Menurutnya, penunggang motosikal mengalami kecederaan di bahagian pinggang dan kedua-dua kaki, manakala isterinya cedera pada tangan kanan.
“Kedua-dua mangsa sedang menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).
“Pemandu Honda CRV berusia 59 tahun tidak mengalami kecederaan. Manakala penunggang motosikal Yamaha Y15ZR berusia 47 tahun pula mengalami luka pada bahagian lutut kiri.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.


