AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua bot penumpang yang disyaki melanggar syarat lesen dalam operasi penguatkuasaan di perairan negeri Terengganu, semalam.
Pengarah Maritim Malaysia Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, kedua-dua bot berkenaan ditahan oleh pasukan ronda pada kira-kira jam 12.40 tengah hari dan 1.37 petang.
Menurut beliau, bot terbabit dikesan pada kedudukan kira-kira 27 batu nautika dari muara Kuala Terengganu semasa pemeriksaan dijalankan.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot pertama beroperasi tanpa lesen yang sah selain dikendalikan oleh seorang nakhoda yang tidak memiliki Perakuan Kekompetenan.
“Bot kedua pula didapati turut beroperasi tanpa lesen yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, kedua-dua bot tersebut membawa seramai 48 penumpang dan tiga kru yang kesemuanya warga tempatan.
Katanya, semua penumpang didapati berada dalam keadaan selamat dan memakai peralatan keselamatan yang ditetapkan.
“Susulan itu, kedua-dua bot bersama nakhoda masing-masing diiring ke Jeti Maritim Negeri Terengganu bagi tujuan siasatan lanjut.
“Beberapa dokumen berkaitan turut disita bagi membantu siasatan,” katanya.
Menurut Hamiludin, kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
Beliau berkata, jika sabit kesalahan, pihak yang terlibat boleh dikenakan tindakan termasuk denda, penggantungan lesen atau hukuman lain mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Maritim Malaysia akan terus memperhebat rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta menjamin keselamatan pengguna pengangkutan laut di perairan Terengganu,” katanya.


