PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor boleh menjadi permulaan kepada penyatuan parti politik utama Melayu, terutamanya Pas dan UMNO.
Timbalan Presiden Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu bukan sahaja mengembalikan hak memilih kepada rakyat tetapi membuka ruang kepada satu gelombang perubahan baharu dalam politik Malaysia .
‘’Satu peralihan yang berpotensi mengembalikan semula kekuatan politik Melayu-Islam di negara ini. Lebih daripada itu, ia juga mampu membentuk kekuatan politik Bumiputera, bukan sahaja di Semenanjung, bahkan juga di Sabah dan Sarawak,,’’ katanya dalam kenyataan mala mini.
Beliau berkata, semua itu hanya dapat dicapai apabila wujud muafakat dan toleransi antara parti-parti politik utama Melayu-Islam di negara ini.
‘’Beberapa isu utama yang memberi kesan kepada orang Melayu dan umat Islam perlu diberi perhatian serius. Antaranya isu pengiktirafan UEC, tindakan melampau membantah titah Raja-Raja Melayu, penukaran status tanah di kawasan majoriti bukan Melayu, usaha mencabar enakmen syariah negeri-negeri, serta pelbagai isu lain yang dilihat mencabar kedudukan Islam dan kuasa politik Melayu di Malaysia,’’ tegasnya.
Tuan Ibrahim menegaskan, perpecahan parti politik Melayu dan kegagalan menyatukan kekuatan politik orang Melayu, termasuk kelompok-kelompok kecil, telah menyebabkan kaum itu menerima kesan yang berlaku pada hari ini.
‘’Hal ini seharusnya membuka mata pemimpin utama politik Melayu, khususnya Pas dan UMNO, untuk segera bertindak sebelum ‘nasi menjadi bubur’. Kekuatan politik Melayu terletak pada agama Islam yang menjadi alat penyatuan ummah.
‘’Paksi utama ini mesti dijadikan asas dalam usaha penyatuan, agar generasi yang bakal menerajui politik Melayu pada masa depan mewarisi kekuatan akidah, akhlak dan pegangan agama yang kukuh,’’ katanya.
Beliau berkata, sesuatu bangsa akan terus teguh selagi akhlak dan pegangan agamanya utuh. Jika tidak, maka sebaliknyalah yang akan berlaku.
‘’Usaha penyatuan ini perlu disegerakan, bermula dengan mendepani PRN Johor, dan terus diperkukuh pada masa hadapan. Parti-parti politik Melayu pernah bersama dalam sejarah negara.
‘’Kita pernah menyaksikannya selepas peristiwa 13 Mei, apabila Barisan Nasional terbentuk. Muafakat Nasional pula terbentuk akibat kebimbangan terhadap usaha kerajaan PH ketika itu yang dilihat boleh menghakis keamanan dan keharmonian rakyat Malaysia. Kini, sudah sampai masanya gagasan Muafakat Nasional 2.0 dijayakan,’’ katanya.
Tuan Ibrahim berkata, Pas amat mengharapkan semua parti utama, khususnya parti-parti Melayu di negara ini, dapat berfikir secara serius, berlapang dada, mengenepikan perbezaan, serta meletakkan masa depan bangsa dan ummah sebagai keutamaan.
”Insya-Allah, apabila Melayu-Islam bersatu, kita akan menjadi kuat dan mampu melindungi hak semua pihak,’’ katanya.


