Polis  Thailand selamatkan pelajar warga China daripada ‘penculikan maya’

POLIS Thailand telah menyelamatkan seorang pelajar warga China berusia 21 tahun daripada “penculikan maya” yang didalangi oleh rangkaian jenayah rentas negara yang cuba memeras ugut keluarganya sebanyak kira-kira RM1.6 juta.

Wanita muda itu, yang dikenali oleh polis hanya sebagai Ms Wang, merupakan pelajar warga China yang sedang menuntut di Hong Kong.

Bapanya menerima mesej ugutan melalui WeChat daripada seorang lelaki tidak dikenali yang mendakwa anak perempuannya telah diculik, kata Timbalan Ketua Polis Negara Thailand, Pol Gen Chatchai Pitaneelaboot, kepada pemberita pada Rabu.

Beliau turut menerima gambar yang menunjukkan anak perempuannya diikat dengan tali dan kelihatan seperti telah didera, bersama tuntutan wang tebusan sebanyak HK$3 juta, bersamaan kira-kira RM1.6 juta. Keluarga mangsa sebaliknya membuat laporan kepada polis Hong Kong, lapor Bangkok Post

Pihak berkuasa Hong Kong kemudiannya menghubungi Pusat Anti-Penipuan Siber Thailand dan Biro Siasatan Pusat. Tindakan itu membawa kepada pelancaran siasatan segera oleh Bahagian Anti-Pemerdagangan Orang, kata Jeneral  Chatchai.

Ketua Bahagian Anti-Pemerdagangan Orang dan ketua pasukan penyelamat, Kolonel Korkiat Wuthijamnong, berkata penyiasat mendapati penipu sebelum itu telah memperdaya wanita berkenaan supaya meminta wang daripada bapanya dengan alasan ia diperlukan sebagai bukti sokongan kewangan untuk melanjutkan pengajian di luar negara.

Mempercayai dakwaan tersebut, bapanya memindahkan lebih HK$1.4 juta, bersamaan kira-kira RM750,000, ke dalam akaun Bank of China milik anaknya. Dana itu kemudiannya disalurkan melalui rangkaian akaun keldai yang dikawal oleh sindiket penipuan tersebut, kata Korkiat.

Pada 31 Mei, wanita itu melakukan perjalanan bersendirian dari Hong Kong ke Thailand dan mendaftar masuk ke sebuah hotel di daerah Lat Krabang, Bangkok pada 1 Jun. (

Pegawai polis meneliti rakaman CCTV dan bukti lain yang menunjukkan wanita itu tinggal bersendirian di hotel berkenaan dan tiada individu lain masuk atau keluar dari bilik tersebut.

Penyiasat turut mendapati dia telah menyewa sebuah kereta bersama pemandu untuk pergi membeli-belah, dan membeli tali, pengikat, pisau, cat badan serta gincu merah.

Barangan itu digunakan untuk mereka kecederaan palsu yang dipaparkan dalam gambar dan video yang kemudian dihantar kepada sindiket penipuan, yang seterusnya menggunakan bahan tersebut untuk menekan keluarga mangsa supaya membayar wang tebusan yang dituntut.

Siasatan lanjut mendedahkan bahawa pelajar itu kemudiannya berpindah ke sebuah hotel lain di daerah Bang Phli, wilayah Samut Prakan, di mana dia mendaftar masuk menggunakan imej pasport palsu yang diberikan secara dalam talian oleh sindiket tersebut. Pegawai polis berjaya mengesan lokasidan membawanya ke tempat yang selamat.

Korkiat berkata penjenayah telah memanipulasi wanita itu dan keluarganya secara psikologi.

Menurutnya, bukan perkara luar biasa bagi penipu untuk menyamar sebagai pegawai kerajaan dan secara palsu mendakwa mangsa terlibat dalam kes jenayah.

‘’Sindiket berkenaan kemudian mengarahkan mangsa memutuskan hubungan dengan keluarga, bersembunyi dan melakonkan penculikan terhadap diri sendiri sebelum menghantar video serta gambar rekaan kepada ahli keluarga dan menuntut wang.

“Penjenayah tidak berada secara fizikal bersama mangsa. Inilah yang dikenali sebagai penculikan maya,” katanya.

Chatchai berkata kes itu menonjolkan taktik yang semakin canggih digunakan oleh sindiket jenayah rentas negara.

“Walaupun tiada penculikan sebenar berlaku, tekanan emosi dan kerugian kewangan yang ditanggung keluarga mangsa adalah sangat nyata,” katanya.

Beliau berkata dalam sesetengah kes, mangsa dipujuk untuk melakukan perjalanan ke negara jiran, di mana mereka mungkin berisiko menjadi mangsa pemerdagangan manusia atau dipaksa terlibat dalam aktiviti jenayah.

Polis Thailand sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Hong Kong untuk mengenal pasti dan mendakwa anggota rangkaian penipuan pusat panggilan yang terlibat dalam kes tersebut, kata Chatchai.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img