SEORANG lelaki yang dikehendaki polis kerana terlibat dalam kegiatan jenayah terancang Geng TR ditahan hari ini semasa dalam penerbangan dari Chennai, India menuju ke Bangkok, Thailand.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata penahanan suspek itu dilakukan dengan kerjasama pihak berkuasa India dan Thailand dalam operasi khas dikenali sebagai Op Lima sebelum dibawa pulang ke Malaysia.
“Suspek merupakan ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng TR’ yang bergerak aktif melakukan kesalahan jenayah kekerasan dan aktiviti dadah di Selangor sejak 2021.
“Lelaki warga tempatan berumur 46 tahun itu juga mempunyai waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Selangor pada 17 April selain notis merah Interpol yang dikeluarkan pada 7 Mei lalu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata,suspek akan disiasat mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dan bakal berdepan hukuman penjara lima tahun hingga 20 tahun.
‘’ Suspek juga mempunyai rekod dalam pelbagai kesalahan serius termasuk kes bunuh, rompak berkumpulan menggunakan senjata dan mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.
“Suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 10 pagi esok mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan. Polis juga merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa India dan Thailand atas sinergi serta kerjasama erat yang diberikan,” katanya.
Pada 2024, seramai 20 individu didakwa di Mahkamah Sesyen Klang atas pertuduhan menyertai kumpulan jenayah terancang, Geng TR sejak 2019.


