SEORANG pengasuh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun 11 bulan di sebuah apartmen di Putra Perdana, bulan lalu.
Tertuduh, Nur Syuhaida Jamalluddin, 33, yang juga ibu kepada dua anak, didakwa menyebabkan kematian anak asuhannya, Dhiya Falisha Mustaqim dalam kejadian yang berlaku antara jam 9.31 pagi hingga 11.24 pagi pada 18 Mei lalu.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani, namun tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah apartmen di Taman Putra Perdana, Puchong, Sepang.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sekurang-kurangnya 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norfarahanim Abdul Halim.
Mahkamah kemudian menetapkan 14 Julai ini untuk sebutan semula kes.


