Pengasuh ditahan bantu siasatan kes bayi maut pendarahan otak

POLIS menahan seorang pengasuh wanita bagi membantu siasatan kes kematian bayi perempuan berusia lapan bulan yang dipercayai akibat pendarahan otak, pada 15 April lalu.

Ketua Polis Daerah Arau Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, suspek berusia 35 tahun itu ditahan pada 16 April kira-kira jam 2.30 petang sebelum dilepaskan dengan jaminan polis pada hari sama sehingga 16 Jun depan.

Menurutnya, bayi berkenaan disahkan meninggal dunia pada 22 April lalu ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Sultanah Bahiyah.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan pada 23 April mendapati kematian mangsa berpunca daripada trauma daya tumpul pada bahagian kepala.

“Penentuan umur pendarahan subdura akan dibuat melalui ujian histopatologi yang dijangka mengambil masa beberapa minggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dijaga oleh pengasuh terbabit sejak 11 Februari lalu.

“Sebelum kejadian, ibu mangsa mendapati terdapat kesan lebam pada hidung serta dahi bayi itu pada 7 April, namun pengasuh memaklumkan mangsa terjatuh dan terkena rak televisyen selepas dipegang anaknya berusia enam tahun.

“Ibu mangsa bagaimanapun tidak membawa bayi ke klinik ketika itu kerana anaknya masih kelihatan aktif,” katanya.

Menurutnya, pada 15 April kira-kira jam 5.16 petang, pengasuh menghubungi ibu mangsa memaklumkan bayi berkenaan dalam keadaan lesu dan tidak sedarkan diri.

“Ibu mangsa yang bergegas ke rumah pengasuh mendapati anaknya mengalami kekejangan sebelum membawanya ke Klinik Kesihatan Arau dan dirujuk ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk pembedahan kecemasan,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img