SEORANG guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Setiu, atas tujuh pertuduhan amang seksual fizikal membabitkan dua pelajar lelaki berusia 15 dan 17 tahun, bulan lalu.
Tertuduh, Darusalam Ab Rahman, 42, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fadhli Mahmud.
Berdasarkan tiga pertuduhan pertama, tertuduh didakwa berkomunikasi dengan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun melalui aplikasi WhatsApp dengan niat untuk melakukan atau memudahkan perlakuan amang seksual fizikal terhadap mangsa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Anak Ikan antara jam 9.21 malam hingga 2.10 pagi pada 5, 8 dan 10 Mei lalu.
Bagi pertuduhan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 12(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKKSTKK) dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Selain itu, Darusalam turut berdepan dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja sama di dalam sebuah kereta di hadapan sebuah kedai makan di Kuala Terengganu kira-kira jam 9 malam dan di hadapan sebuah rumah di Kampung Anak Ikan sekitar jam 10 malam pada 11 Mei lalu.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) AKKSTKK 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan.
Tertuduh juga didakwa atas dua lagi pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun di sebuah tandas sekolah menengah di Besut kira-kira jam 4 petang pada 8 Mei lalu.
Pertuduhan tersebut turut dibuat mengikut Seksyen 14(a) AKKSTKK 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Akmal Mohd Jazlee mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh diwakili seorang peguam yang enggan namanya disiarkan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM22,000 dengan seorang penjamin.
Hakim turut mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan serta dilarang mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 6 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen di Mahkamah Sesyen Besut.


