Bapa dipenjara 20 tahun, 13 sebatan rogol anak kandung

SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 13 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Muar hari ini selepas didapati bersalah merogol serta melakukan amang seksual terhadap anak kandungnya sejak tahun lalu.

Hakim, Mohd Khairi Haron, menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 37 tahun selepas mengambil kira fakta kes, pengakuan serta hujahan pemberatan pihak pendakwaan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bekerja sebagai pemotong rumput didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya berusia 15 tahun ketika mangsa sedang tidur di dalam bilik di sebuah rumah di Tangkak, antara jam 8 hingga 9 malam tahun lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merogol mangsa di lokasi sama antara jam 2 hingga 3 pagi pada 23 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, pada 20 April lalu, ibu mangsa menerima panggilan daripada pihak sekolah memaklumkan anaknya menjadi mangsa perbuatan tersebut sebelum membawa mangsa ke hospital bagi menjalani pemeriksaan.

Siasatan mendapati terdapat dua kejadian menimpa mangsa, masing-masing pada tahun lalu dan Februari lalu ketika mangsa sedang tidur sebelum tertuduh menyelinap masuk ke dalam bilik dan menutup mulut mangsa.

Bertindak atas maklumat, polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak menahan tertuduh pada jam 1 tengah hari, 20 April lalu.

Penahanan itu turut membawa kepada rampasan sebuah telefon bimbit milik tertuduh bagi membantu siasatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ameerah Allaudeen, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Selain hukuman penjara dan sebatan, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh tahanan serta berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat hukuman, selaras Seksyen 26 dan 27 akta sama.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img