Ahli perniagaan didakwa jadi anggota ‘Geng TR’

SEORANG ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Selangor hari ini, atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai ‘Geng TR’ antara tahun 2019 hingga 2024.

Tertuduh, R Ravindran, 46, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran makanan laut di Jeram, Kuala Selangor.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Mengikut pertuduhan, Ravindran didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng TR’ antara November 2019 hingga 3 Mei 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lina Hanini Ismail manakala tertuduh diwakili peguam, Sean Dudley.

Terdahulu, Lina Hanini memohon supaya tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Beliau turut memohon agar kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Klang untuk tindakan lanjut.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan itu dan mengarahkan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Klang, manakala tarikh sebutan akan ditetapkan kemudian melalui notifikasi mahkamah.

Difahamkan, kes tersebut akan didengar di Mahkamah Tinggi Klang kerana prosiding membabitkan beberapa individu lain yang turut didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah sama sedang berjalan di mahkamah berkenaan.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki yang dikehendaki polis kerana disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah terancang berjaya ditahan menerusi operasi khas Ops Lima.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar dilaporkan berkata, suspek yang juga dipercayai ahli ‘Geng TR’ ditahan hasil kerjasama pihak berkuasa India dan Thailand ketika berada dalam penerbangan dari Chennai, India ke Bangkok, Thailand sebelum dibawa pulang ke Malaysia.

Menurut beliau, suspek ditahan berdasarkan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Selangor pada 17 April lalu selain mempunyai Notis Merah Polis Antarabangsa (Interpol) yang dikeluarkan pada 7 Mei lalu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img