
MENAMPILKAN gabungan muka lama dan baharu serta mengekalkan konsep WALI iaitu winnable (boleh menang), acceptable (diterima) dan likeable (disukai) merupakan pendekatan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lagi.
Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesemua 56 calon Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada parti itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat dan diumumkan seminggu menjelang hari penamaan calon.
Katanya, langkah itu bagi memberikan ruang untuk menyelesaikan sebarang isu di kawasan tertentu lebih awal.
“Saya akan memuktamadkan senarai calon-calon BN untuk 56 kerusi DUN dalam tempoh yang paling singkat. Kita akan umumkan nama-nama calon itu, insya-Allah, seminggu sebelum hari penamaan calon.
“Ini untuk kita bentangkan bagi beberapa isu, jika ada, dapat diselesaikan lebih awal di DUN tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di Putrajaya, hari ini.
Pada Isnin lepas, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.
PRN Johor pada 2022 menyaksikan UMNO-BN menang 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan diikuti Pakatan Harapan (PH) dengan 12 kerusi, Perikatan Nasional (tiga) dan Muda (satu).
Ahmad Zahid berkata, bagi mewarnai bakat kepimpinan di Johor, BN akan menampilkan gabungan antara pemegang jawatan sedia ada dengan muka baharu.
‘’ BN kini dalam proses memperkukuh jentera sedia ada selain menggerakkan bantuan dari negeri-negeri lain,’’ katanya.


