SEORANG murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Alam Damai yang maut dalam kemalangan motosikal di Jalan Cheras pagi semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Masjid Al-Mukhlisin.
Perkara itu dimaklumkan pihak sekolah menerusi satu hantaran di Facebook yang menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga atas pemergian Allahyarhamah Nur Inara Aisyah, 8.
“Dukacita dimaklumkan bahawa pelajar Tahun Tiga SK Alam Damai, anak kepada Encik Shahrul dan Puan Nuralsida telah kembali ke Rahmatullah pada 3 Jun 2026.
“Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan para solehin,” menurut hantaran berkenaan.
Semalam, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun maut selepas motosikal yang dinaikinya bersama ibu bapanya terlibat dalam kemalangan di Jalan Cheras menghala ke Jalan Loke Yew.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati penunggang motosikal jenis SYM Husky 150 SE berusia 35 tahun itu dipercayai mencelah di antara lorong kiri dan kanan ketika keadaan trafik sesak sebelum hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang sebuah Honda CR-V di lorong kanan.
Menurut beliau, sebuah lagi motosikal yang berada di belakang tidak sempat mengelak sebelum melanggar motosikal berkenaan dan terjatuh di atas jalan.
Akibat kemalangan itu, Nur Inara Aisyah yang membonceng motosikal bersama ibu bapanya mengalami kecederaan parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Bapa mangsa dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian pinggang dan kedua-dua kaki, manakala ibunya cedera pada tangan kanan dan sedang menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


