Padah tunjuk jari tengah, pemandu lori dipenjara sehari dan denda RM8,000

SEORANG pemandu lori yang tular kerana menunjukkan isyarat lucah kepada pengguna jalan raya serta memandu secara berbahaya dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Balik Pulau, hari ini.

Majistret Chia Huey Ting turut memerintahkan Tan Chee Gang, 37, hilang kelayakan memandu selama lima tahun selain lesen memandunya diserahkan kepada mahkamah berkuat kuasa serta-merta.

Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan mahkamah.

Bagi pertuduhan pertama, Chee Gang didakwa melakukan perbuatan menghina dengan menunjukkan isyarat lucah menggunakan jari tengah kepada seorang pemandu lain dengan niat menyebabkan ketakutan di Jalan Tun Dr Awang, kira-kira jam 11.02 pagi, Khamis minggu lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki yang masih bujang itu mengaku memandu sebuah Perodua Myvi secara berbahaya sehingga boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain di lokasi dan waktu yang sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 1999 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM15,000 bagi kesalahan pertama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ikmal Affandi Zulkifli, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kerajaan (YBGK).

Dalam rayuan meringankan hukuman, peguam memaklumkan anak guamnya hanya memperoleh pendapatan sekitar RM80 sehari selain perlu menanggung kedua-dua ibu bapanya yang sudah lanjut usia.

Mahkamah kemudian mengenakan denda RM3,000 bagi pertuduhan pertama dan RM5,000 bagi pertuduhan kedua. Jika gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjarakan selama enam bulan bagi setiap pertuduhan.

Terdahulu, ketika dibawa keluar menuju lokap mahkamah, Chee Gang beberapa kali menyatakan hasratnya untuk tidak membayar denda yang dikenakan.

Sebelum ini, lelaki berkenaan ditahan polis selepas rakaman kamera papan pemuka (dashcam) milik mangsa tular di media sosial.

Menerusi rakaman berdurasi 58 saat itu, tertuduh dilihat memotong kenderaan mangsa secara mengejut sebelum menunjukkan isyarat lucah.

Dia kemudian memberhentikan kenderaannya di tengah jalan, keluar sambil memegang objek dipercayai paip PVC dan menghayunkannya ke arah kenderaan mangsa.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img