Kemalangan maut di Kluang : Remaja ditahan semula bantu siasatan di bawah kes bunuh

REMAN yang dibebaskan daripada tahanan reman selepas ditahan berhubung kemalangan yang mengorbankan lima nyawa dan mencederakan lapan individu di Kluang, Johor pada Isnin lalu akan ditahan semula esok bagi membantu siasatan kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Noh berkata, permohonan reman baharu akan dibuat di Mahkamah Majistret Kluang terhadap suspek berusia 19 tahun itu yang identitinya masih belum didedahkan.

“Suspek akan ditahan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Bagaimanapun, siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkaitan pemanduan melulu dan berbahaya akan diteruskan,” katanya lapor Harian Metro.

Perkembangan itu susulan keputusan Jabatan Peguam Negara semalam yang mengarahkan siasatan nahas tersebut diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh serta menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu dan berbahaya.

Sebelum ini, remaja berkenaan direman selama dua hari bermula Selasa sebelum tempoh remannya dilanjutkan sehari lagi.

Pada Selasa, Bahrin berkata suspek yang memandu sebuah Mercedes-Benz E240 dipercayai sedang berlumba dengan abangnya, Goh Yi Sheng, 22, yang memandu sebuah BMW sebelum kemalangan berlaku pada jam 1.19 petang di Jalan Renggam–Simpang Renggam.

Menurut siasatan awal, Goh dipercayai hilang kawalan terhadap BMW yang dipandunya sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh sebuah Perodua Alza, Toyota Vios, Proton Wira 1.5 serta Mercedes-Benz yang dipandu adiknya.

Empat penumpang Toyota Vios, iaitu Aiman Rashid, 36, Nur Airish Syifa Sidek, 10, Nor Azlina Abd Latif, 33, dan Semek Mat Soh, 73, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Goh pula meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian dada ketika dalam perjalanan ke hospital.

Seramai lapan lagi individu yang terlibat dalam kemalangan tersebut dikejarkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom untuk menerima rawatan lanjut.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img