SULTAN Brunei Sultan Hassanal Bolkiah hari ini berkenan mengumumkan rombakan dan pelantikan beberapa Menteri Kabinet, Menteri Penyelaras serta Timbalan Menteri yang baharu dalam kerajaan Brunei Darussalam.
Pengumuman itu disampaikan baginda menerusi titah khas yang disiarkan secara langsung melalui semua saluran televisyen, radio dan platform RTBGo.
Baginda bertitah bahawa pelantikan dan pertukaran tersebut berkuat kuasa serta-merta mulai hari ini bagi tempoh empat tahun.
Sultan Hassanal Bolkiah mengumumkan bahawa baginda akan terus memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Kewangan.
Dalam rombakan itu, Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dilantik sebagai Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri serta akan menjalankan tugas sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Tertinggi Wawasan 2035.
Sementara itu, Pengiran Muda Abdul Malik dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan akan mengekalkan peranannya sebagai Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Turut menerima pelantikan baharu ialah Pengiran Muda Abdul Mateen yang dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, di samping meneruskan kerjayanya dalam bidang ketenteraan.
Rombakan Kabinet itu dilihat sebagai langkah memperkukuh pentadbiran kerajaan serta memastikan kesinambungan pelaksanaan dasar dan agenda pembangunan negara bagi mencapai sasaran Wawasan Brunei 2035.


