PEMUDA Pas Selangor hari ini mendesak kerajaan negeri mengambil tindakan berhubung laporan kemasukan ratusan babi hidup ke Selangor yang didakwa bercanggah dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini.
Naib Ketua Pemuda Pas Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, perkara itu turut menimbulkan keresahan awam serta pelbagai pertikaian dalam kalangan masyarakat.
“Sebagaimana kita semua sedia maklum, Sultan Selangor telah menitahkan dengan jelas bahawa hanya daging babi yang diimport dibenarkan bagi memenuhi permintaan masyarakat bukan Islam di negeri ini.
“Justeru, laporan terhadap kemasukan babi hidup dalam skala yang besar mencetuskan persoalan yang serius, adakah aktiviti ini membelakangi titah Sultan?,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Pelabuhan Klang, Abdul Rahman Kachil mendedahkan kira-kira 800 ekor babi hidup dibawa masuk dari Kuching, Sarawak ke Pelabuhan Klang setiap minggu sejak Julai lalu.
Menurut laporan itu, haiwan berkenaan dibawa menggunakan kapal sebelum dihantar ke sebuah premis yang dipercayai berfungsi sebagai pusat penyembelihan.
Pada 7 Mei lalu, Sultan Sharafuddin menegaskan pendirian tidak memperkenankan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.
Baginda turut menegaskan isu penternakan haiwan itu perlu dihentikan sepenuhnya bagi mengelakkan keresahan serta memastikan keamanan dan keharmonian rakyat terus terpelihara.
Mengulas lanjut, Muhammad Faizzuddin berkata, kemasukan babi hidup itu turut menimbulkan kebimbangan berkaitan kebersihan, kesihatan awam dan kelestarian alam sekitar di kawasan sekitar pelabuhan.
Katanya, perairan Pelabuhan Klang menjadi sumber rezeki nelayan dan sebarang pelepasan sisa kumbahan atau bahan daripada proses pembersihan serta pemunggahan haiwan tanpa kawalan sewajarnya berpotensi menjejaskan kualiti air, ekosistem dan hasil tangkapan.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan menjalankan siasatan segera dan memperketat pemantauan bagi memastikan perkara berkenaan ditangani.
“Kami menuntut agar siasatan yang pantas dan pemantauan yang tegas dilakukan bagi memastikan tiada mana-mana pihak sengaja mencabar atau derhaka titah Sultan Selangor.
“Pemuda Pas Selangor beri amaran kepada Menteri Besar Selangor bahawa kerajaan negeri jangan ambil ringan isu ini dan jangan sesekali melindungi mereka yang khianat dan derhaka kepada Sultan Selangor,” katanya.





