PGA rampas 3.1 tan beras seludup, tiga kenderaan bernilai hampir RM69,000

PASUKAN Gerakan Am (PGA) merampas 3.1 tan beras dipercayai diseludup dari Thailand bersama tiga kenderaan dengan nilai keseluruhan RM68,785 dalam tiga serbuan berasingan di Tumpat dan Tanah Merah, semalam.

Serbuan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan itu dilaksanakan anggota Batalion 8 PGA di Pangkalan Haram Simpangan, Tumpat serta dua lokasi di Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan pertama pada jam 7.30 pagi dilakukan ketika anggota Strike Force menjalankan rondaan berhampiran pangkalan haram berkenaan.

Menurutnya, anggota bertugas melihat beberapa lelaki sedang memunggah guni putih daripada sebuah perahu ke dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Mitsubishi Pajero.

“Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran anggota PGA, semua suspek bertindak terjun ke dalam bot sebelum melarikan diri ke tebing Sungai Golok di sebelah Thailand.

“Pemeriksaan terhadap Mitsubishi Pajero yang ditinggalkan menemukan sebanyak 1,485 kilogram beras yang dipercayai diseludup dari Thailand untuk dijual di sekitar Kota Bharu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Radzi berkata, dua lagi serbuan dilakukan di Kampung Lalang Pepuyu pada jam 4.30 pagi dan 5 pagi.

Katanya, hasil pemeriksaan di kedua-dua lokasi itu membawa kepada rampasan 1,780 kilogram beras pelbagai jenis bersama sebuah Proton Persona dan Proton Waja dengan nilai keseluruhan lebih RM32,000.

“Beras yang dirampas dipercayai diseludup dari Thailand untuk dipasarkan di sekitar Jeli dan Tanah Merah.

“Nilai keseluruhan rampasan bagi ketiga-tiga serbuan termasuk beras dan kenderaan dianggarkan berjumlah RM68,785,” katanya.

Beliau berkata, semua barang kes dibawa ke Komtak Pengkalan Kubor dan Balai Polis Lalang Pepuyu sebelum diserahkan kepada pihak Kawal Selia Padi dan Beras Negara untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img