
MALAM tadi, kediaman Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Kampung Pulau, Masjid Tanah menjadi tumpuan media apabila tersebar berita Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan dalam masa terdekat bagi memberikan laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Spekulasi itu wujud selepas DUN Johor dibubarkan pada 1 Jun lalu disusuli Negeri Sembilan (NS) kelmarin.
Ab.Rauf yang baru tiba di tanah air selepas menunaikan haji memberitahu media bahawa Melaka tidak tergesa-gesa untuk membubarkan DUN mengikut kedua-dua negeri tersebut.
Kata beliau, tempoh habis penggal DUN Melaka hanya berakhir pada hujung tahun ini dan dalam tempoh berkenaan, pembubaran boleh dilakukan pada bila-bila masa.
Namun penulis tertarik apabila Ab Rauf turut tidak menolak kemungkinan PRN Melaka diadakan serentak dengan negeri lain sekiranya keadaan memerlukan.
“Dalam politik, tiada yang mustahil. Politik adalah seni seribu satu kemungkinan. Apa pun, kita tunggu dan lihat,” katanya.
Sudah pastilah jawapan itu akan mewujudkan spekulasi bahawa kemungkinan DUN Melaka akan dibubarkan dalam masa terdekat. Jika itu berlaku maknanya BN berpeluang untuk melaksanakan ‘Misi Kuasai Selatan’ – mempertahankan Johor,Melaka, merampas kembali Negeri Sembilan.
Bagi penulis inilah peluang terbaik kepada BN di bawah kepimpinan Pengerusinya, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi melaksanakan taktikal bagi memastikan panji-panji UMNO-BN tertegak megah dari Negeri Sembilan hingga Johor.
Persoalannya, adakah ‘Misi Kuasai Selatan’ akan berjaya? Sementara BN-UMNO dikatakan selesa di Johor, bagaimana dengan Negeri Sembilan dan Melaka?
Jika dikaji keputusan PRN lalu, BN berpeluang menguasai kembali Negeri Sembilan apatah lagi jika Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan terus diberi kepercayaan sebagai ‘poster boy’ dan calon Menteri Besar.
Dalam PRN lalu, BN gagal menubuhkan kerajaan dengan majoriti mudah iaitu 19 daripada 36 kerusi (DUN) apabila hanya menguasai 14 kerusi. Daripada jumlah itu pula, terdapat 8 kerusi BN menang dengan majoriti bawah 1,000 termasuk 3 kerusi di bawah 400 undi.
Namun begitu melalui taktikal Ahmad Zahid, UMNO berada dalam kerajaan negeri sehinggalah DUN dibubar kelmarin walaupun 14 calon BN telah menarik sokongan terhadap Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Perlu diingat, BN juga ‘ada saham’ apabila DUN Negeri Sembilan dibubarkan kerana mereka pernah membuat desakan atau gesaan bagi tujuan itu. Justeru inilah peluang terbaik untuk BN merampas kembali negeri berkenaan.
Sama ada UMNO akan bekerjasama lagi dengan PH dalam sebuah kerajaan, itu perkara kedua, sebab Ahmad Zahid pun kata semalam, ‘’terlalu awal untuk mengadakan rundingan rasmi mengenainya.’’
Tetapi penulis percaya majoriti pemimpin dan ahli UMNO di Negeri Sembilan mahu parti itu bergerak solo seperti BN Johor dan kembali memerintah negeri itu.
Jika Johor dianggap ada peluang cerah untuk terus berada dalam genggaman BN, manakala di Negeri Sembilan ada peluang kembali sebagai kerajaan bagaimana pula dengan Melaka yang boleh menjadi pelengkap ‘Misi Kuasai Selatan’ ini?
Pada PRN lalu, BN Melaka menang 21 daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan. Bagaimanapun jumlah itu berkurangan kepada 20 selepas ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis yang menang dengan undi majoriti 869 undi menyertai Pas pada 2023.
Daripada 21 kerusi itu, terdapat sembilan kerusi dimenangi bawah 1,000 undi termasuk tiga kerusi dimenangi di bawah 400 undi iaitu Tanjung Bidara, Pengkalan Batu dan Duyong.
Bagaimanapun berdasarkan dapatan awal dijangkakan BN tidak ada masalah untuk mengekalkan pemerintahan di negeri itu walaupun mungkin menang banyak kerusi dengan majoriti rendah.
Namun semua itu adalah hasil dapatan awal, dalam tempoh menjelang PRN macam-macam boleh berlaku sepertimana kata Ab Rauf,’’ Politik adalah seni seribu satu kemungkinan’’.
Apapun inilah masa paling sesuai untuk BN laksanakan ‘Misi Kuasai Selatan’ itu, kalau PKR hebat di Selangor, DAP ampuh di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Pas mantap di Perlis, Kedah, Pahang, Kelantan dan Terengganu, bolehlah BN khususnya UMNO tunjuk kekuatan di Selatan pula.
Khabarnya sudah ada bisik-bisik pasal ‘misi selatan’ ni, jadi tak mustahil DUN Melaka pun mungkin dibubar dalam masa terdekat? kita tunggu saja.


