JURUTEKNIK maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum tercampak ke laluan bertentangan dan dirempuh kereta di Jalan Reko, Kajang, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 11.13 malam ketika mangsa, 28, dalam perjalanan dari Putrajaya untuk pulang ke rumahnya di Semenyih.
Siasatan awal mendapati penunggang motosikal terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum terjatuh ke laluan bertentangan.
“Pada masa sama, sebuah kenderaan e-hailing dipandu lelaki berusia 52 tahun hailing tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal dan mangsa.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya melalui kenyataan, hari ini.
Sementara itu di Bandar Mahkota Cheras, seorang penunggang motosikal maut dirempuh sebuah kereta ketika keluar dari simpang tiga malam tadi.
Naazron berkata, kemalangan kira-kira jam 7 malam itu melibatkan sebuah motosikal dan kereta.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta dipandu seorang peniaga berusia 35 tahun sedang melalui Jalan Permaisuri, sebelum tiba di simpang tiga jalan berkenaan.
“Ketika itu, sebuah motosikal ditunggang lelaki berusia 32 tahun keluar dari simpang secara tiba-tiba, pemandu kereta gagal mengelak lalu melanggar motosikal berkenaan,” katanya.
Naazron berkata, penunggang motosikal yang bekerja sebagai pemandu bas disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


