”Terima kasih, minta maaf rakyat Malaysia’’ – Jaslinda

PENDAKI wanita yang hilang di Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, menzahirkan permohonan maaf kepada rakyat Malaysia.

“Terima kasih, minta maaf rakyat Malaysia,” katanya ringkas ketika menerima rawatan awal di dalam ambulans Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Kampung Lubuk Gaharu, di Tapah.

Dia yang ditemui selamat kira-kira jam 3 petang tadi kini dalam proses dibawa keluar melalui Kampung Sungai Tidung.  Jaslinda sebelum ini dilaporkan hilang ketika melakukan pendakian di Gunung Batu Putih pada 24 Mei lalu.

SEMENTARA itu, penduduk Orang Asli yang menemui Jaslinda, Bah Roslan Bah Sulpok, 51, berkata, penemuan sekitar jam 5.10 petang itu berlaku ketika dia sedang memancing.

Menurutnya, ketika itu terlihat kelibat seorang wanita bertudung sedang berjalan menyeberangi jambatan dalam keadaan tidak bermaya.

“Saya kenal itu Jaslinda kerana gambarnya ada dikongsi di telefon. Saya terus jerit minta dia tunggu sahaja di situ. Bila saya pergi dekat dia, dia terus menangis dan cakap tolong saya,” katanya lapor Sinar Harian.

Bimbang dengan keadaan itu, Bah Roslan terus membawa Jaslinda ke kediaman tok batin yang terletak kira-kira 1 kilometer dengan tujuan penemuan berkenaan dimaklumkan kepada pihak berkuasa.

“Sampai sahaja rumah tok batin, dia terus cakap yang dia lapar,” katanya.

Di kediaman tok batin, Jaslinda dijamu hidangan mi segera, nasi berlaukkan ayam goreng dan ikan tengas serta ubi kayu rebus.

“Saya dan penduduk di sini katakan kepadanya tidak usah risau. Dia selamat di sini. Kami akan tolong dia,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan sedar di kampung tersebut  sebelum dibawa ke rumah penemu untuk diberikan bantuan awal dan makanan.

“Pihak polis telah membuat pengesahan penemuan tersebut dan menguruskan tindakan lanjut termasuk pemeriksaan kesihatan terhadap mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu kata beliau,  operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang bermula pada 24 Mei lepas ditamatkan secara rasmi setelah mangsa berjaya ditemukan dengan selamat.

“Pihak Polis Diraja Malaysia Kontinjen Perak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi, NGO (pertubuhan bukan kerajaan), sukarelawan, masyarakat Orang Asli dan orang awam yang telah memberikan kerjasama sepanjang operasi ini berlangsung,” katanya.

Pengarah Datuk Sayani Saidon, berkata, mangsa ditemukan selamat berhampiran Kampung Lubuk Gaharu Pos Musoh.

Katanya, Jaslinda ditemui seorang penduduk, Nazri Bah Eng sebelum dia memaklumkannya kepada anak saudaranya yang berada di Johor, untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa.

“Ketika ini, mangsa berada di rumah Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu sementara menunggu tindakan lanjut daripada pihak berkuasa dan pasukan penyelamat,’’ katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img