PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menzahirkan rasa syukur dan merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki, Jaslinda Saludin di Gunung Batu Putih di Tapah.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau turut berterima kasih kepada sukarelawan, pasukan penyelamat serta masyarakat Orang Asli di Lubuk Gaharu yang membantu melindungi Jaslinda.
“Alhamdulillah syukur. Terima kasih sukarelawan dan pasukan penyelamat, serta warga Orang Asli Lubuk Gaharu kerana melindungi saudari Jaslinda,” katanya.
Terdahulu, dilaporkan Jaslinda, 49, yang hilang ketika melakukan pendakian di kawasan Gunung Batu Putih ditemui selamat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, Jaslinda ditemui kira-kira jam 3 petang oleh seorang lelaki yang kemudian memaklumkannya kepada anak saudara mangsa yang berada di Johor.
“Anak saudaranya kemudian memaklumkan penemuan itu kepada pihak berkuasa. Orang Hilang (Jaslinda) sekarang berada di rumah Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu,” katanya.
Jaslinda hilang sejak 24 Mei lalu selepas mendaki gunung berkenaan bersama 13 ahli kumpulan.


