KETUA Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Ismail Yusop mengesahkan tempoh perkhidmatan berakhir hari ini.
Katanya, beliau telah ditugaskan ke jawatan baharu, namun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenainya.
“Perkhidmatan saya sebagai ketua pengarah J-Kom perlu ditamatkan lebih awal bagi membolehkan saya dilantik ke jawatan baharu. Ada tugasan baharu yang perlu dilaksanakan.
“Insya-Allah, saya kekal setia dan komited untuk terus menjayakan agenda kerajaan Madani,” katanya lapor FMT.
Setakat ini, belum diketahui siapa yang akan menggantikan beliau atau bila pelantikan baharu itu akan diumumkan.
Bekas Senator PKR itu dilantik ke jawatan berkenaan pada Januari 2025, menggantikan Datuk Khairuddin Othman, yang juga daripada PKR.
Ismail individu ketiga menerajui agensi itu sejak pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih kerajaan pada November 2022.
J-Kom, yang diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi, bertanggungjawab menyelaras komunikasi kerajaan serta usaha libat urus dengan orang awam.


