Tiada kapal terbang tersadai di Sungai Kandis – Polis

POLIS mengesahkan dakwaan tular di media sosial mengenai sebuah kapal terbang yang kononnya tersadai di tepi Sungai Kandis, Seksyen 36, Shah Alam, adalah tidak benar selepas pemeriksaan di lokasi mendapati tiada sebarang pesawat berada di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung satu hantaran Facebook yang mendakwa sebuah kapal terbang berada di tepi Sungai Klang berhampiran Sungai Kandis kira-kira jam 11.55 pagi semalam.

Menurutnya, pemilik akaun berkenaan memuat naik hantaran dengan kapsyen, ‘Apalah kapal terbang tu buat dekat tepi Sungai Klang di Sungai Kandis.’

“Susulan itu, polis menjalankan usaha mengesan dan menjejaki kapal terbang yang dimaksudkan dalam hantaran berkenaan.

“Pencarian dilakukan di sekitar kawasan yang dinyatakan termasuk berdasarkan koordinat yang dikongsikan dalam hantaran terbabit,” katanya.

Ramsay berkata, hasil pemeriksaan dan semakan yang dijalankan mendapati tiada sebarang pesawat tersadai atau berada di lokasi seperti yang didakwa.

“Semakan mendapati tiada sebarang pesawat tersadai seperti yang disebarkan oleh pemilik akaun Facebook berkenaan.

“Justeru, kenyataan atau dakwaan dibuat oleh pemilik akaun itu adalah palsu,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya lebih bertanggungjawab ketika berkongsi maklumat di media sosial dan tidak mudah mempercayai maklumat yang belum disahkan.

“Elakkan menyebarkan berita tidak sahih atau membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img