KEMENTERIAN Kewangan (MoF) meminta orang ramai agar tidak terperdaya dengan taktik penipuan kononnya wujud pemberian bantuan sempena Ramadan.
Selain itu, kementerian terbabit juga menjelaskan tiada sebarang tuntutan kredit e-tunai seperti yang tular dalam media sosial.

“Kementerian Kewangan ingin menegaskan bahawa tiada sebarang permohonan Bantuan Ramadan, Tuntutan Kredit E-Tunai seperti yang tular di media sosial.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menekan klik pada sebarang pautan yang meragukan dan tidak berkongsi maklumat peribadi kepada sumber yang tidak sah,” kata kenyataan Kementerian Kewangan dalam hantaran Facebook hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi orang ramai diminta sentiasa menyemak maklumat melalui saluran rasmi MoF di www.mof.gov.my
Selain itu, orang ramai dinasihatkan hanya menyemak segala maklumat menerusi media sosial rasmi kementerian itu dan menghentikan penyebaran mesej palsu serta membuat semakan sebelum berkongsi sebarang maklumat.


