PGA tahan tiga warga Myanmar, 2 miliki kad UNHCR palsu

TAKTIK dua daripada tiga lelaki warga Myanmar menggunakan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang disyaki palsu untuk mengaburi pihak berkuasa terbongkar selepas mereka ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) di Lalang Pepuyu, Kota Bharu, malam tadi.

Ketiga-tiga suspek berusia antara 21 hingga 28 tahun ditahan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Op Taring Wawasan Kelantan kira-kira jam 9 malam.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota yang bertugas di SJR berkenaan menahan sebuah kereta Chevrolet Optra berwarna kelabu yang dilihat mencurigakan.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati pemandu berusia 28 tahun memiliki kad UNHCR yang masih sah, namun dua penumpangnya menunjukkan kad UNHCR yang meragukan dan dipercayai palsu.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati pemandu disyaki menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada pendatang asing tanpa izin dan disiasat mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.

“Dua penumpang pula disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana disyaki menggunakan atau memiliki dokumen perjalanan yang dipalsukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas sebuah Chevrolet Optra bernilai RM40,000, empat telefon bimbit bernilai RM4,000 serta tiga keping kad UNHCR untuk siasatan lanjut.

Menurut Ahmad Radzi, siasatan awal mendapati pemandu memasuki Malaysia pada 2019 melalui Pulau Langkawi dengan menaiki kapal dari Sittwe, Myanmar sebelum bekerja sebagai buruh binaan di Johor Bahru selama lima tahun.

Katanya, suspek kemudian berpindah ke Kajang Utama, Selangor bersama isteri dan anaknya yang juga warga Myanmar.

“Siasatan mendapati ketiga-tiga suspek saling mengenali ketika bekerja dalam sektor pembinaan di Johor Bahru pada 2019 dan pemandu telah menggunakan kereta itu dengan kebenaran pemiliknya sejak hampir dua minggu lalu.

“Mereka mendakwa sedang dalam perjalanan dari Kajang Utama ke Batu Karang, Pasir Mas untuk melawat ibu saudara yang sakit. Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati rumah yang dimaksudkan tidak wujud,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek bersama barang kes ditahan mengikut Seksyen 28A Kanun Prosedur Jenayah sebelum dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan lanjut.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img