LIMA individu termasuk tiga warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang hari ini atas pertuduhan menyeludup 18 migran warga Myanmar, awal bulan lalu.
Tertuduh warga tempatan, Hasnul Nazudi Che Ahamed, 45, dan Mohd Faisal Taib, 37, bersama seorang wanita warga Myanmar, Ma Nge, 28, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mohd Sabri Ismail.
Sementara itu, pertuduhan terhadap dua lagi lelaki warga Myanmar, Soe Min Oo, 28, dan Soe Naing, 43, akan dibacakan semula kerana mereka tidak memahami bahasa Melayu.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa secara bersama dengan seorang individu yang masih bebas dengan niat bersama menyeludup 18 warga Myanmar di sebuah premis di Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong kira-kira jam 12.15 tengah hari pada 5 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Abdullah Sani, tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan melibatkan isu keselamatan serta memohon kehadiran jurubahasa Myanmar bagi membolehkan pertuduhan dibacakan semula.
Mahkamah membenarkan permohonan itu dan menetapkan 6 Mei ini untuk sebutan semula kes.
Kesemua tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin dan tidak diwakili peguam.


