Israel bertindak balas serang Iran

TENTERA Israel mendakwa pesawat pejuangnya melancarkan serangan ke atas kawasan barat dan tengah Iran pada awal pagi Isnin.

 Beberapa jam kemudian, siren amaran pula kedengaran di seluruh wilayah Palestin yang diduduki susulan satu serangan peluru berpandu.

Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mengesahkan bahawa wilayah Iran menjadi sasaran pencerobohan Israel, sambil menyatakan rejim Zionis menggunakan peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari udara untuk menyerang Iran dari luar ruang udaranya.

Perkembangan itu berlaku ketika beberapa letupan dilaporkan kedengaran di Tehran, Tabriz, Isfahan dan Karaj.

Menurut Channel 12 Israel, Lapangan Terbang Antarabangsa Mehrabad di Teheran turut menjadi sasaran dalam gelombang serangan tersebut.

Sementara itu, wartawan Al Mayadeen di Baghdad melaporkan satu letupan yang tidak diketahui puncanya turut kedengaran di seluruh ibu negara Iraq itu.

Selepas gelombang serangan Israel berakhir, media Israel melaporkan tahap amaran keselamatan telah dinaikkan di Tel Aviv dan kawasan selatan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan serangan balas.

Perkembangan itu menyusuli tindak balas Iran terhadap pencerobohan Israel di Lubnan serta insiden yang disifatkan Tehran sebagai tindakan lanun berhampiran Selat Hormuz.

Pada jam 5.56 pagi waktu tempatan, siren amaran berbunyi di kawasan tengah wilayah Israel yang diduduki susulan apa yang didakwa tentera Israel sebagai serangan peluru berpandu dari Yaman.

Susulan serangan Iran yang menyasarkan Pangkalan Udara Ramat David di utara Palestin yang diduduki, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dilaporkan menghubungi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan mengarahkannya supaya tidak membalas tindakan Iran. Perkara itu dilaporkan secara meluas oleh media Barat dan Israel.

“Saya akan menghubungi Bibi sekarang dan memberitahunya supaya tidak bertindak balas. Kedua-dua pihak sudah melakukan tindakan masing-masing. Israel telah melancarkan serangan dan Iran juga telah melancarkan serangan. Kita tidak memerlukan satu lagi serangan,” kata Trump kepada Axios.

Walaupun Trump secara terbuka menggesa ketegangan diredakan, kenyataan daripada kepimpinan tentera Israel menunjukkan nada yang berbeza.

Menurut media Israel, Ketua Staf Am, Leftenan Jeneral Eyal Zamir berkata tentera bersedia melancarkan serangan besar-besaran “sebaik sahaja arahan diberikan”.

Kenyataan itu memberi gambaran bahawa ketika Washington berusaha mengelakkan konfrontasi dengan Iran, institusi ketenteraan Israel sedang giat membuat persiapan untuk melancarkan tindakan yang lebih agresif.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img