Enam sekeluarga maut: Mahkamah tolak permohonan reman pemandu lori

Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini menolak permohonan reman terhadap pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan ngeri mengorbankan enam sekeluarga di Kampung Baru Pinang Tunggal, semalam.

Keputusan itu dibuat Majistret Mohamad Azlan Basri selepas meneliti permohonan yang dikemukakan polis terhadap lelaki berusia 49 tahun yang ditahan sejurus selepas kejadian.

Susulan keputusan itu, polis diarahkan melepaskan pemandu lori berkenaan selepas proses rakaman keterangannya berhubung kemalangan terbabit selesai dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.

Sebelum ini, Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah memaklumkan hasil saringan awal ujian air kencing ke atas pemandu lori itu didapati negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.

Bagaimanapun, semakan rekod mendapati lelaki berkenaan mempunyai tujuh saman trafik, termasuk empat saman tertunggak yang masih belum dijelaskan.

Menurut Adzli, siasatan turut mendapati pemandu terbabit memiliki lesen memandu yang sah dan lori dipandunya bergerak pada kelajuan kira-kira 60 kilometer sejam ketika kejadian.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan menyeluruh dari pelbagai sudut bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan yang mengorbankan enam nyawa termasuk seorang anggota polis berpangkat koperal.

Dalam tragedi yang berlaku petang semalam, enam individu maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori muatan tanah di Kampung Baru Pinang Tunggal.

Difahamkan, Proton X50 berkenaan baru dibeli dan diambil oleh salah seorang mangsa dalam beberapa jam sebelum kemalangan berlaku.

Polis turut memaklumkan SUV terbabit akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dalam masa terdekat bagi menjalani pemeriksaan teknikal secara menyeluruh sebagai sebahagian daripada siasatan kes.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img