Nahas enam sekeluarga : Polis sahkan Ahmad Fahim pemandu Proton X50, bukan abangnya

POLIS mengesahkan Ahmad Fahim Ahmad Shukri, 21, adalah individu yang memandu Proton X50 yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan enam sekeluarga di Kampung Baru Pinang Tunggal semalam, sekali gus memperbetulkan maklumat awal yang menyatakan kenderaan itu dipandu abangnya.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, berlaku kekhilafan dalam pengesahan identiti pemandu pada peringkat awal siasatan berikutan keadaan kenderaan yang remuk teruk selepas kemalangan.

“Terdapat kekhilafan maklumat pada peringkat awal disebabkan keadaan kenderaan yang remuk.

“Hasil siasatan lanjut mendapati kenderaan itu dipandu Ahmad Fahim Ahmad Shukri, 21, yang juga pemilik Proton X50 tersebut,” katanya.

Terdahulu, laporan awal menyatakan SUV berkenaan dipandu anggota polis, Ahmad Shafiq Ahmad Shukri, 29, yang juga abang kepada Ahmad Fahim.

Bagaimanapun, semakan lanjut polis mendapati Ahmad Fahim yang baru mengambil kenderaan itu pada hari kejadian berada di tempat pemandu ketika kemalangan berlaku.

Dalam tragedi kira-kira jam 3.50 petang semalam, enam individu maut manakala seorang lagi cedera parah selepas SUV yang dinaiki tujuh sekeluarga itu terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori muatan tanah di Kampung Baru Pinang Tunggal.

Lima mangsa yang maut iaitu Ahmad Fahim, Ahmad Shafiq, Jamaliah Sannusi, bayi Ahmad Mikail Ahmad Shukri serta Nora Mohd Husin selamat dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Abidi, Merbok, pagi tadi.

Seorang lagi mangsa, Iskandar Affan Ibrahim, 7, pula dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Permatang Kuang, Penaga, Pulau Pinang awal pagi tadi.

Sementara itu, satu-satunya mangsa yang terselamat, Aulia Sofea Ahmad Shafiq, 3, masih menerima rawatan di hospital akibat kecederaan parah.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img