Enam sekeluarga maut : 5 sekeluarga selamat dikebumi dalam satu liang

SUASANA pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Abidi, Merbok dekat Sungai Petani apabila lima sekeluarga yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan lori muatan tanah selamat dikebumikan dalam satu liang, pagi tadi.

Jenazah Ahmad Shafiq Ahmad Shukri, 29, isterinya Jamaliah Sannusi, 29, bayi lelaki mereka Ahmad Mikail Ahmad Shukri berusia dua bulan, ibu Ahmad Shafiq, Nora Mohd Husin, 55, serta adiknya Ahmad Fahim, 21, disemadikan pada jam 10 pagi.

Majlis pengebumian yang berlangsung dalam suasana hiba itu dihadiri lebih 300 ahli keluarga, saudara-mara, rakan-rakan serta anggota dan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan.

Suasana sayu jelas terpancar apabila anak-anak Allahyarham Nora gagal menahan sebak ketika menyiram air dan membaca doa di pusara ibu mereka.

Terdahulu, jenazah kelima-lima mangsa tiba di Masjid Al Abidi sekitar jam 9 pagi sebelum disembahyangkan dan dibawa ke tanah perkuburan untuk urusan pengebumian.

Seorang lagi mangsa yang maut dalam tragedi itu, Iskandar Affan Ibrahim, 7, selamat dikebumikan lebih awal di Tanah Perkuburan Islam Masjid Permatang Kuang, Penaga, Pulau Pinang, awal pagi tadi.

Dalam kejadian semalam, enam individu maut manakala seorang lagi cedera parah selepas SUV Proton X50 yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori muatan tanah di Kampung Baru Pinang Tunggal.

Mangsa yang terselamat, Aulia Sofea Ahmad Shafiq, 3, kini masih menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) akibat kecederaan parah.

Difahamkan, ketika kejadian semua mangsa sedang menaiki Proton X50 yang baharu dibeli dan diambil pada hari sama sebelum bertolak ke Merbok untuk menziarahi pusara bapa Ahmad Shafiq dan Ahmad Fahim.

Namun, perjalanan yang sepatutnya untuk menziarahi kubur bertukar tragedi apabila kenderaan dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan maut yang meragut enam nyawa.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img