Seorang guru muzik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Klang hari ini, atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap enam pelajar perempuan sekolah menengah di Sabak Bernam, tahun lalu dan awal tahun ini.
Tertuduh, Idi Johan Mohd Zohdi, 45, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar.
Berdasarkan kesemua pertuduhan, guru terbabit didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap enam pelajar perempuannya yang masing-masing berusia 15 tahun bagi maksud seksual.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi termasuk bilik darjah, stor barang muzik, sebuah rumah dan dalam kereta di sekitar Sabak Bernam antara Januari 2025 hingga Februari lalu.
Susulan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Selain itu, Seksyen 16(1) akta sama turut memperuntukkan hukuman tambahan penjara sehingga lima tahun dan tidak kurang daripada dua sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Suhaili Abu Bakar menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan selain memohon syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa serta melaporkan diri di balai polis setiap bulan.
Tertuduh diwakili peguam Datuk Mohd Imran Tamrin, Mohd Hafizuddin Khan Norkhan, Ainul Aizat Ahmad Ishak dan Intan Syakieraa Zakaria.
Dalam rayuannya, Mohd Imran memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan anak yang masih bersekolah selain tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
Beliau turut memaklumkan tertuduh yang berkhidmat sebagai guru sejak 2002 tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib atau disiplin sepanjang perkhidmatannya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan serta mengenakan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 30 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.


