Jurulatih kadet bomba didakwa amang seksual pelajar perempuan 14 tahun

SEORANG jurulatih kadet bomba berdepan tujuh pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini, melibatkan kes amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun.

Tertuduh, Muhammad Aidilafifi Muhammad, 28, didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di antara awal Februari hingga 1 Mei 2026 jam di beberapa lokasi di dalam dan di luar sekolah di sekitar daerah Perak Tengah.

Perbuatan itu didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara itu, tertuduh yang berkhidmat selama empat tahun sebagai anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat itu turut didakwa atas satu lagi pertuduhan kerana memiliki gambar pornografi mangsa di dalam telefon bimbit miliknya.

Pertuduhan tersebut didakwa di bawah Seksyen 10 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan ke atas pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin tidak menawarkan sebarang jaminan.

Terdahulu, peguam Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid merayu kepada mahkamah dengan membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi keseluruhan pertuduhan dengan alasan tertuduh menanggung keluarga dengan pendapatan RM2,500 selain memberi jaminan tidak akan melarikan diri.

Hakim Jean Sharmila Jesudason menetapkan jaminan RM9,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri setiap bulan di balai berhampiran selain tidak mengganggu saksi.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 23 Jun depan bagi sebutan semula kes.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img